SaLAm DiHuLuR PemBUka BIcAra

Sunday, April 28, 2013

Apa Itu Aurat ??


Aurat dari segi bahasa; ialah keaiban, manakala dari segi istilah syarak; ialah bahagian-bahagian tertentu pada tubuh manusia yang wajib ditutup.
Jadi, aurat bermaksud bahagian-bahagian tertentu yang wajib dilindungi daripada pandangan orang ajnabi kerana perbuatan tersebut dianggap suatu yang mengaibkan di sisi agama Islam.
Aurat lelaki:
Lelaki yang akil baligh wajib menutup aurat dengan sempurna mengikut syarak. Batasan aurat lelaki telah pun jelas disebut oleh Rasulullahlah s.a.w. melalui hadis yang diriwayatkan oleh Darul Qutni ” aurat lelaki ialah bahagian di antara pusat dan lutut”.
Walaupun begitu, mengikut pandangan ulama aurat lelaki berbeza mengikut situasi yang dihadapinya, di antaranya adalah seperti berikut:
a) Ketika solat – antara pusat dan lutut.
b) Di hadapan wanita yang bukan mahram – seluruh anggota badan
c) Di hadapan lelaki dan wanita yang mahramnya – antara pusat dan lutut.
d) Ketika seorang diri di tempat sunyi – qubul dan dubur sahaja.
Aurat wanita:
Syarak telah menetapkan bahawa aurat wanita lebih daripada aurat lelaki. Antara dalil yang menjelaskan batasan aurat wanita ialah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud ” seorang gadis yang apabila telah kedatangan haid tidak dibenarkan mendedahkan tubuhnya melainkan muka dan dua tapak tangan hingga pergelangan tangan”.
Termasuk di dalam kategori mendedahkan aurat juga ialah memakai pakaian yang nipis. Kerana menurut satu hadis bahawa pada suatu hari Asma’ binti Abu Bakar telah berkunjung ke rumah Rasulullah s.a.w. dengan memakai pakaian yang agak nipis sehingga menampakkan warna kulitnya, lalu baginda menegur ” wahai Asma’, seorang perempuan apabila kedatangan haid tidak harus dilihat kepadanya kecuali ini dan ini sahaja”. Sambil baginda mengisyaratkan ke muka dan tapak tangannya.
Dalam satu riwayat lain, Hafsah binti Abdul Rahman berkunjung ke rumah Aisyah (isteri Rasulullah s.a.w.) dengan memakai kain tudung yang nipis lalu dikoyak oleh Aisyah dan diganti dengan tudung yang tebal seraya berkata : Rasulullah pernah bersabda " Allah melaknati perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang.”
Sama seperti lelaki, wanita juga mempunyai batas aurat tertentu mengikut situasi yang dihadapinya. Antaranya ialah seperti berikut:
a) Ketika solat – seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan.
b) Di hadapan wanita kafir dan wanita Islam yang fasiq atau rosak akhlak – seluruh anggota kecuali kepala, muka, leher, dua tapak tangan hingga ke siku dan dua tapak kaki.
c) Di hadapan lelaki yang bukan mahram – seluruh tubuh tanpa pengecualian menurut pendapat yang muktamad dalam mazhab syafie’.
myLife
Pendapat empat mazhab tentang aurat wanita Islam
1. Mazhab Syafie’:
Pendapat pertama : Semua anggota badan (pendapat yang paling sahih)
Pendapat ke dua : Semua anggota badan kecuali muka dan tapak tangan (sekiranya tidak menimbulkan fitnah)
2. Mazhab Hanbali:
Pendapat pertama : Semua anggota tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan. Jika mendedahkannya menimbulkan fitnah maka wajib juga ditutup.
Pendapat ke dua : Semua anggota.
3. Mazhab Hanafi:
Pendapat pertama : Semua anggota tubuh kecuali muka dan tapak tangan.
Bagaimanapun jika mendatangkan fitnah wajib ditutup.
Pendapat kedua : Semua anggota tubuh kecuali muka, dua tapak tangan dan tapak kaki hingga pergelangannya.
4. Mazhab Maliki:
Semua anggota tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan. Jika mendedahkannya ditakuti boleh menimbulkan fitnah maka wajib juga ditutup.
Cuba anda bandingkan pendapat-pendapat mazhab yang telah disebutkan di atas. Kalau diperhatikan, tiada perselisihan pendapat yang ketara dari segi batasan aurat wanita. Dengan itu tiada ruang bagi wanita mukminat untuk mempertikaikan tentang masalah aurat kerana ia telah menjadi hukum dan peraturan syarak yang wajib dipatuhi oleh setiap wanita.

Saturday, April 27, 2013

5 Sebab Kenapa "COUPLE" Haram


KENAPA COUPLE HARAM??
PERTAMA: TIDAK MEMPUNYAI NIAT YANG BAIK ATAU SEBALIKNYA
Sesebuah perhubungan ?istimewa” antara seorang lelaki dan wanita seharusnya didasari dengan niat yang baik seperti bertujuan untuk berkahwin. Justeru sebarang perhubungan yang tidak bertujuan seperti tersebut adalah tidak harus seperti bercouple untuk berhibur, bersuka-suka dan sebagainya.
KEDUA: TIDAK MEMATUHI (MELAMPAUI) SYARIAT AGAMA
Lumrah bercouple seakan tidak dapat lari dari aktiviti seperti ber”dating”?, ber”shoping” dan sebagainya hatta ada yang sampai ke peringkat “membonceng”. Tidak kurang juga (tanpa segan silu) menggunakan istilah-istilah yang kononnya menunjukkan sikap “caring” seperti memanggil darling kepada pasangannya. Paling tidak, pasti di dalam pertemuan(dating) akan berlaku pandangan mata yang tidak harus, perbicaraan yang tidak wajar dan seumpamanya. Semua perlakuan ini adalah bercanggah dengan ajaran Islam yang mengharamkan perhubungan bebas di antara lelaki dan perempuan. Yang paling penting, apabila Syariat Islam mengharamkan sesuatu perkara/perbuatan, maka wasilah atau tindakan yang menuju kepada perkara yang diharamkan tersebut juga turut diharamkan. Kaedah Fiqh ada menyebutkan : sesuatu yang membawa kepada yang haram, maka ia juga menjadi haram?. Justeru berdasarkan kaedah ini, maka bercouple yang membawa kepada perlanggaran hukum syariat juga adalah
haram.
KETIGA: MENJATUHKAN MARUAH (PERIBADI) SEORANG WANITA
Apabila pasangan yang bercouple berdating, maka peribadi seorang wanita muslimah akan dipersoalkan. Khalayak tidak akan berbicara tentang si lelaki yang bercouple tersebut, tetapi si perempuan. Masyarakat akan bertanya bagaimana begitu mudah si perempuan tersebut membiarkan dirinya diusung(maaf jika agak keterlaluan) ke sana-sini atau setidak-tidaknya umum akan menganggap bahawa perempuan tersebut telah dimiliki. Kesan buruk yang mungkin dihadapi ialah apabila berlaku perpisahan antara pasangan tersebut. Masyarakat akan mula membuat pelbagai tanggapan negatif terhadap si perempuan tersebut. Prasangka-prasangka negatif akan direka dan dihebahkan. Akhirnya berlakulah tohmahan-tohmohan yang menjatuhkan maruah dan kehormatan seorang wanita. Ingatlah bahawa Islam amat memprihatinkan penjagaan maruah seorang wanita. Di atas dasar itulah adanya hukum Qazaf dan kerana tujuan tersebut jugalah Islam mengharamkan perhubungan yang di luar batasan. Sebabnya adalah kerana Islam
memelihara kehormatan seorang wanita.
Dalil yang lebih kuat menetang hubungan percintaan terdapat di dalamSurah Al-Israa’(17) ayat 32:
“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.”
Ayat ini memeng cukup popular di kalangan kita. Ramai yang apabila ditegur dengan ayat ini akan menjawab,”Kami tidak berzina. Kami berbual-bual je” , “Kami keluar makan je” dan “Kami main SMS je.” Dan pelbagai 1001 alasan lagi. Para pembaca,sila teliti firman Allah tadi. Dalam ayat ini, Allah melarang kita mendekati zina. Allah menggunakan kalimah ‘walaa taqrobuu’ (jangan hampiri) dan bukannya kalimah ‘walaa ta`maluu’ (jangan melakukan). Ini menunjukkan, walaupun kita hanya mendekati zina, ia sudah pun HARAM! Mungkin ada yang tidak jelas dengan maksud menghampiri di sini. Biar kita ambil contoh, jarak kita dengan dewan adalah 50 meter. Apabila kita melangkah setapak ke arah dewan, jarak antara kita dan dewan adalah 49.8 meter. Inilah dikatakan menghampiri dewan. Jadi, bercinta sebelum kahwin dan ber’couple’ adalah menghampiri zina, dan menghampiri zina adalah HARAM.
Ini adalah dalil-dalil daripada Al-Quran. Bagaimana pula dengan hadis rasul kita, Nabi Muhammad S.A.W.? Dalam hadis, baginda rasulullah telah memperincikan jenis-jenis zina. Daripada Abu Hurairah r.a katanya, Nabi S.A.W. bersabda :
“Sesungguhnya Allah Ta’ala telah menetapkan nasib anak Adam mengenai zina. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Zina mata ialah memandang. Zina lidah ialah berkata. Zina hati ialah keinginan dan syahwat,sedangkan faraj (kemaluan) hanya menuruti atau tidak menuruti.”*
Hadis kedua; Daripada Abu Hurairah r.a., dari Nabi S.A.W. sabdanya :
“Nasib anak Adam mengenai zina telah ditetapkan. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Dua mata, zinanya memandang. Dua telinga, zinanya mendengar. Lidah, zinanya berkata. Tangan, zinanya memukul. Kaki, zinanya melangkah. Hati, zinanya ingin dan rindu, sedangkan faraj (kemaluan) hanya mengikuti atau tidak mengikuti.”**
(Dua hadis di atas adalah sahih dan diriwayatkan oleh 4 orang imam, iaitu Al-Bukhari, Muslim, Ahmad dan Ghayatul-Maram. *Sahih Muslim, hadis ke 2281. **Sahih Muslim, hadis ke 2282)
KEEMPAT: MEMBAZIRKAN WANG KEPADA PERKARA YANG TIDAK WAJAR
Di dalam budaya bercouple, biasanya pasangan lelaki akan banyak menghabis duit pinjaman PTPTN, JPA, yayasan negeri (bagi mahasiswa IPT) atau duit pemberian ibubapa untuk memenuhi kehendak pasangan wanitanya. Ajak saja dinner, lunch, breakfeast atau bershoping pasti si lelaki yang perlu mengeluarkan duit poketnya. Terdapat juga keadaan di mana si perempuan yang berbelanja si lelaki. Itu belum dikira dengan pembeliaan kad top-up handset yang out of control. Hanya kerana call untuk tanya khabar, dah makan ke belum, ada yang sanggup mentop up handset mereka beberapa kali dalam seminggu. Cuba bayangkan jumlah wang perlu dibazirkan hanya untuk perkara yang sangat remeh dan tidak perlu. Paling menyedihkan, wang tersebut adalah pemberian keluarga yang seharusnya digunakan bagi tujuan pengajian. Begitu juga wang pinjaman PTPTN, ia adalah hutang yang perlu dibayar selepas tamat pengajian. Justeru, penggunaan kedua-dua jenis wang ini kepada perkara yang tidak wajar adalah tidak
harus dan ditegah oleh syarak. Perbuatan membazir dan menyalahgunakan harta juga adalah amalan syaitan.(Rujuk Al-Israa ayat 27)
KELIMA: MEMBUANG MASA KEPADA PERKARA YANG TIDAK SEWAJARNYA
Seperkara yang wajar diprihatinkan di sini ialah penggunaan waktu kepada perkara yang tidak bermanfaat. Lebih malang lagi, masa yang amat terhad sebagai seorang mahasiswa telah diisi dengan perbuatan-perbuatan yang ditegah oleh Allah. Bukankah berdating, berbual telefon secara marathon dan lain-lain aktiviti rutin bercouple merupakan perbuatan yang menyimpang dari anjuran agama. Justeru setiap saat dan minit yang digunakan bagi tujuan tersebut akan dipersoal dan diperbicarakan di hadapan Allah.
Perlu diingat bahawa Islam bukan mengharamkan secara total perkara yang dinyatakan di atas. Islam tidak menghalang perbuatan tersebut, tetapi meletakkan beberapa prasyarat yang perlu dipenuhi. Sekiranya kita gagal mengikut syarat-syarat tersebut, maka status perbuatan tersebut menjadi HARAM serta menjauhkan diri pelaku daripada kasih sayang dan cinta Allah. (Rujuk kitab al-Halal wal Haram Fil Islam, Dr. Yusuf Al-Qardhawi)

Friday, April 26, 2013

Berhati-Hati Menjaga Mata dan Hati



Bermula dengan perbualan biasa, bergurau senda, percampuran barisan semasa membeli makanan di kantin atau gerai-gerai jualan, percampuran jantina dalam setiap aktiviti yang dijalankan dan sebagainya itu adalah permulaan kepada pergaulan bebas.
Pada mulanya, pandang-memandang. Lama-kelamaan, memberi kesan ke dalam hati kerana pandangan mata merupakan busur panahan dari iblis. Rasulullah bersabda yang bermaksud : “Panahan mata itu merupakan satu daripada sekian anak panah..”
Pandangan pertama adalah anugerah atau lebih tepat lagi dikatakan sebagai ‘lampu hijau’. Manakala pandangan kedua adalah ‘lampu kuning’. Dan pandangan yang ketiga pula merupakan ‘lampu merah’. Jika lebih daripada itu, maka berlakulah maksiat yang dinamakan sebagai ‘zina mata’.
Pandangan yang berulang-ulang adalah suis utama yang menyalakan api rindu. Bagi mereka yang memandang dengan sepintas lalu, sangat jarang dan kecil peratus hatinya terusik ataupun untuk jatuh hati. Ibn Qayyim memberikan sebab mengapa rasa rindu berlebihan terjadi. Antaranya, hati tidak terisi oleh rasa cinta, syukur, zikir dan ibadah kepada Allah sebaliknya, lebih kepada perbuatan mata meliar. Pandangan dan renungan mata adalah jalan yang menuju kepada kesedihan dan keresahan.
Dalam hal ini, Ibn Qayyim menyatakan : “Orang yang berakal tidak mudah tergelincir jatuh hati dan rindu, dia tidak ditimpa pelbagai kerosakkan. Barang siapa yang terjatuh ke dalamnya, maka ia termasuk orang yang menzalimi diri sendiri, tertipu dan akhirnya binasa. Jika dia tidak melakukan pandangan berkali-kali terhadap orang yang dikagumi dan usahanya itu meragut benang asmara, pastilah asmara tidak akan kukuh mencengkam jiwanya”.
Masa remaja adalah masa yang penuh dengan gelora perasaan kerana masa remaja merupakan transisi menuju ke alam dewasa. Remaja dan cinta memang tidak dapat dinafikan lagi. Perasaan ingin menyayangi dan disayangi itu sentiasa ada dalam setiap sanubari remaja.

Islam tidak mugkin menyekat fitrah manusia yang sememangnya ingin menyayangi dan disayangi. Untuk apa Allah menciptakan manusia berfitrah seperti sedia ada jika manusia diperintahkan untuk membunuh fitrahnya itu? Ajaran Islam telah diturunkan oleh Allah untuk memasang bingkai agar kemahuan manusia itu dapat disalurkan dengan cara yang terbaik.
Selain itu, Islam menutup rapat jalan kemaksiatan dan membuka seluas-luasnya jalan menuju ketaatan serta memberi dorongan kuat ke arah pelaksanaannya. Percintaan dalam Islam hanyalah selepas termeterainya sebuah ikatan pernikahan antara dua insan, iaitu setelah bergelar suami isteri. Satu-satunya ruang cinta yang diredhai Allah ialah cinta selepas diijabkabulkan.
Rasulullah juga mempunyai perasaan menyayangi dan disayangi. Cintanya pada Siti Khadijah, isteri baginda melalui ranjau perjuangan. Siti Khadijah lah yang telah banyak memberi perangsang kepada baginda. Kasih sayang Siti Khadijah telah menyelimuti hati baginda ketika keluh kesah.
Islam sama sekali tidak menghalang rasa kasih sayang itu. Buktinya ditunjuk melalui Rasulullah SAW. Baginda menangis ketika Siti Khadijah pergi meninggalkan alam ini sehinggakan tahun pemergian Siti Khadijah dikatakan tahun berkabung (berduka cita). Berkasih sayang itu fitrah. Memang tidak salah. Tapi janganlah sampai melanggar batas-batas yang disarankan oleh agama kita. Andai benar cinta dan sayang, pasti kita mahu diri dan pasangan sama-sama berkasih sayang di Syurga-Nya kan? Jadi, peliharalah! Agar jodoh kita juga terpelihara. Jangan sesekali biarkan Syaitan ketawakan kita di Neraka.